Butang Asal

Sunday 13 May 2012

Sejarah Dan Hukum Hari Ibu

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat anda semua. InsyaAllah hari ini cikgu akan kongsi ilmu mengenai hari ibu. Mungkin yang tahu dan tak tahu tentang hari ibu. Moh kita ikuti penerangan daripada Ustaz Azhar Idrus





‘Hari Ibu’ disambut pada Ahad ke-2 bulan Mei setiap tahun oleh kebanyakan penduduk di seluruh dunia, termasuk masyarakat di Malaysia. Secara umumnya umat Islam tanpa usul periksa menerima bulat-bulat apa yang diperkenal dan dianjurkan oleh dunia Barat. Tahukah anda sejarah bermulanya ‘Hari Ibu’?
.
Asal Usul Sambutan Hari Ibu
.
Eropah
Satu aliran pemikiran mengakui bahawa perayaan ini lahir dari satu adat pemujaan ibu di Yunani Purba, yang menyambut satu perayaan untuk Cybele, ibu dewa-dewi Yunani yang agung. Perayaan ini diadakan sekitar equinoks musim bunga di Asia Kecil dan tidak lama kemudian di Rom dari 15 hingga 18 Mac.
Orang Rom Purba juga menyambut suatu perayaan yang bernama Matronalia bagi memperingati dewi Juno, dan ibu lazimnya diberi hadiah pada hari ini.
Orang-orang Greece pula menganggap ‘Hari Ibu’ sebagai perayaan musim bunga dan penghormatan terhadap Rhea, ibu kepada tuhan mereka. Pada tahun 1600 orang-orang England merayakan hari yang mereka namakan sebagai “Mothering Sunday”. Ia dirayakan pada hari Ahad keempat setiap Lent. Lent adalah tempoh masa selama 40 hari samada dalam bulan Februari atau Mac. Dalam tempoh ini, sebahagian orang-orang Kristian akan berhenti melakukan atau memakan makanan tertentu atas alasan agama. Amalan tersebut adalah sebagai penghormatan mereka terhadap Mother Mary. Mother Mary adalah Maryam, ibu kepada Nabi Isa Alaihissalam atau Jesus yang mereka anggap sebagai tuhan.
Perayaan ini bersamaan hari kenduri Persembahan Nabi Isa di Kuil dalam mazhab Ortodoks Timur. Oleh sebab Theotokos (Ibu Tuhan) amat penting dalam perayaan ini kerana membawa Christ ke Kuil Jerusalem, perayaan ini dikaitkan dengan ibu. Namun begitu, kini ramai orang Greece cenderung menyambut Hari Ibu mengikut negara Barat yang lain.
Dalam tempoh tersebut, kebanyakan rakyat England yang faqir dan miskin akan bekerja sebagai pembantu rumah. Mereka keluar jauh meninggalkan keluarga kerana percaya bahawa Jesus akan memberikan kekayaan dan kesenangan dalam tempoh tersebut. Menjelang hari Ahad keempat, mereka digalakkan untuk bercuti oleh majikan dan pulang ke kampung untuk bertemu dengan ibu. Setiap ibu akan dihadiahkan dengan Mothering Cake atau kek hari ibu sempena perayaan tersebut.
Amalan dan tradisi ini menular ke seluruh dunia dan ia kini disambut sebagai penghormatan kepada Mother Church. Mother Church dianggap sebagai kuasa spiritual yang agung yang memberi manusia kehidupan dan memullihara mereka dari sebarang kecederaan. Sejak dari itu, perayaan Mothering Sunday telah diadun dengan upacara kegerejaan. Penghormatan mereka terhadap ibu sama taraf dengan penghormatan mereka terhadap gereja.
.
Amerika Syarikat
Di Amerika Syarikat, Hari Ibu disambut seawal 1872 hasil ilham Julia Ward Howe. Beliau adalah seorang aktivis sosial dan telah menulis puisi “The Battle Hymn of The Republic” (TBHoTR). TBHoTR telah dijadikan lagu patriotik yang popular di kalangan warga Amerika. Ungkapan “Hallelujah” dalam bait-bait lagu tersebut menyerlahkan lagi sentuhan Yahudi dan Zionis dalam mencaturkan politik dunia.
Pada tahun 1907 Anna Jarvis dari Philadelphia telah memulakan kempen untuk melancarkan Hari Ibu. Beliau telah berjaya mempengaruhi Mother’s Church di Grafton, West Virginia agar meraya dan meraikan Hari Ibu pada hari ulang tahun kedua kematian ibunya, iaitu pada hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Semenjak dari itu, Hari Ibu dirayakan saban tahun di Philadelphia.
Anna Jarvis dan pendokong-pendokongnya telah menulis surat kepada menteri, golongan peniaga dan ahli-ahli politik agar Hari Ibu disambut secara meluas di seluruh wilayah. Matlamat mereka telah berjaya sepenuhnya pada tahun 1911 apabila hari tersebut disambut oleh hampir keseluruhan wilayah Amerika. Pada tahun 1914, Presiden Woodrow Wilson, secara rasminya telah mengisytiharkan Hari Ibu sebagai hari cuti umum dan mesti raikan pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei.
.
Asia
Hari Ibu juga disambut pada hari yang berbeza-beza di sebelah Asia kerana berbagai macam sumber asal-usulnya. Di China, Hari ibu disambut sebagai memperingati Meng Mu, ibu kepada Mencius. Di Thailand dirai sempena hari keputeraan Ratu Sirikit Kitiyakara pada 12 Ogos. Manakala 1 Jun di Mongolia adalah Hari Ibu dan pada Kanak-kanak Sedunia juga disambut serentak. Mongolia adalah satu-satunya negara yang menyambut Hari Ibu dua kali setahun.
.
.
Hari Ibu Haram?
.
Sesetengah ulama’ mengatakan bid’ah atau berdosa malahan ada yang ‘extreme’ sehingga mengharamkannya. Memang benar ianya bid’ah dan haram sekiranya itikad dan niat untuk meniru dan meraikan budaya-budaya di atas.
Kenapa perlu diadakan atau diiktikadkan hanya satu hari untuk hari ibu??? Adakah satu hari itu saja dia jadi ibu kita? Adilkah kita perlakukan begitu kepada insan yang mengandungkan kita selama 9 bulan 10 hari, kemudian berjerit perih melahirkan kita, seterusnya menatang bagai minyak yang penuh diri kita, tiba-tiba kita hanya meraikan kemulian mereka hanya sehari. Hari-hari lain, kita diam membisu, tidak menghubungi dan tidak ada lagi penghargaan buat ibu.
.
Solusi
Sepatutnya disambut hari ibu sekerap mungkin… setiap hari, minggu, setiap bulan dan tahun kerana hari ibu memang sewajibnya setiap hari… Raikanlah dengan setulus ikhlas terhadap insan mulia tersebut…
Dengan termaktubnya ‘Hari Ibu’. seharusnya dijadikan hari peringatan atau perayaan terhadap peranan seorang ibu dalam keluarganya, baik untuk suami, anak-anak, mahupun sesama manusia.
Ada baik dan bagus juga diadakan sambutan hari ibu ini, sekurang-kurangnya boleh juga menyedarkan ‘Si Tanggang Moden’ yang sibuk dengan rerakan dan tugas seharian dan orang lebih mengenang dan menghargai jasa pengorbanan ibu..
Peringatan dan perayaan boleh dilakukan dengan membebas atau meringankan tugas ibu dari kerja domestik harian yang dianggap kononnya merupakan kewajibannya, seperti mendidik, menghantar anak-anak ke sekolah, memasak, mengemas dan urusan rumah tangga lainnya.
Islam meletakkan ibu ditempat yang paling selayaknya, begitu juga dengan bapa. Jika Syurga Ibu/isteri di bawah kaki Ayah/suami, tetapi dengan keinsafan yang lebih menebal.. tanpa ibu, siapalah kita… ‘Syurga anak itu adalah di bawah tapak kaki Ibu’.
Seorang ibu berhak mengambil haknya terhadap anak-anaknya dan seseorang anak itu tidak boleh langsung mempertikaikan hak ibu dan bapa mereka terhadap dirinya. Jihad adalah perkara paling utama dalam Islam, namun kerana Ibu, jihad menjadi tempat kedua bagi seorang anak.
Perkara ini dikatakan sendiri oleh Rasulullah ketika ada seorang sahabat yang bernama Jahimah bertemu baginda untuk bertanyakan pandangan untuk ikut serta dalam ekspedisi jihad. Rasulullah bertanya, “Adakah kamu masih mempunyai ibu?” Jahimah menjawab: “Ya.” Lalu Rasulullah bersabda, “Tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya.” (Shahih Sunan al-Nasai, no: 3104)
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)


.: Muhasabah Diri,Hiasi Peribadi :.











0 comments:

Post a Comment